Lokasi (Venue)

Lokasi ARC Bike Fest 2018

Lokasi penganjuran ARC Bike Fest 2018 adalah
Stadium Sultan Muhammad ke 4,
Jalan Stadium, 15200 Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Stadium keramat ini adalah arena utama gelanggang pasukan RED WARRIORS.

Stadium Sultan Muhammed IV, Stadium Sultan Muhammad Keempat, Stadium Sultan Muhammad Ke-IV merupakan sebuah stadium rasmi yang terdapat di negeri Kelantan. Stadium ini mampu menampung jumlah bilangan penonton sehingga seramai 30,000 orang. Stadium ini terletak di Jalan Stadium, Kota Bharu.

Stadium Sultan Muhammed IV telah dibina pada tahun 1967 dengan tujuan menyediakan suatu medan yang khusus untuk menjalankan aktiviti sukan peringkat negeri Kelantan, terutamanya sebagai padang bola sepak negeri. Stadium ini telah dibina di atas tapak padang bola sepak Persatuan Bola Sepak Kelantan yang terletak di tengah-tengah pusat bandar Kota Bharu, bersebelahan dengan pejabat kerajaan seperti Hospital Raja Perempuan Zainab II, Pejabat Kontinjen Polis Kelantan dan Pejabat Majlis Perbandaran Kota Bharu.

Pada tahun 1967 itu, stadium ini merupakan stadium yang paling besar di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dengan muatan tempat duduk seramai 30,000 orang dan padang bolanya memenuhi piawaian keluasan padang yang telah ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara iaitu berukuran 119 meter panjang dan 100 meter lebar.

Selain berfungsi sebagai kawasan kemudahan permainan bola sepak, kompleks stadium ini juga menyediakan gelanggang tenis, trek balapan, kemudahan sukan, kemudahan perniagaan untuk disewakan seperti gudang, ruang pejabat, tapak ekspo, kios dan tandas awam. Stadium ini juga menyediakan kemudahan tempat riadah seperti tapak permainan kasut roda dan kemudahan tempat ibadah seperti surau.

Stadium Sultan Muhammed Ke-IV pada awal penubuhannya diuruskan oleh Persatuan Stadium Kelantan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Negeri Kelantan dan dianggotai oleh seramai 30 orang ahli yang terdiri daripada kakitangan Kerajaan serta wakil persatuan sukan.

Stadium Sultan Muhammed Ke-IV merupakan gelanggang tuan rumah bagi pasukan bola sepak Kelantan FA, setiap kali perlawanan yang dianjurkan itu melibatkan pasukan Kelantan bersaing dengan lawannya di stadium keramat ini, stadium ini sentiasa dipenuhi oleh penyokong fanatik Kelantan FA. Oleh itu Stadium ini telah digelar sebagai Stadium Pahlawan Merah oleh sebilangan penyokong fanatik Kelantan FA.

Papan Markah Elektronik yang dipasang di stadium ini telah digunakan julung kalinya semasa perlawanan antarabangsa peringkat suku akhir Piala AFC antara Kelantan FA menentang kelab Iraq, Arbil SC.
Papan markah yang bernilai RM2.3juta itu ialah sumbangan daripada pihak Jabatan Perdana Menteri yang selaras dengan janji Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membantu kemajuan bola sepak Kelantan. Papan markah yang menggunakan teknologi terkini yang diimport dari Jepun ini ialah papan markah elektronik yang terbaik di negara ini, malahan papan ini dipercayai adalah lebih bagus berbanding yang ada di Stadium Nasional Bukit Jalil.[3]

Siar Gah Papan Elekronik
Stadium Dicahayai Lampu Limpah